Thursday 15 October 2009

Nizar-Anwar: Umno Mengaku Sebab Kekalahan Kerana Perangai TOUCH N GO

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengingatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya tidak menjadi seperti kad 'touch n go' yang hanya bersemangat di hadapan pemimpin tetapi lewa dan lesu ketika di akar umbi.

Tegas beliau, sindrom selesa itu meletakkan UMNO dalam bahaya yang berhadapan cabaran getir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Setiap ahli pergerakan itu, kata beliau, sepatutnya insaf bahawa zaman selesa telah berakhir sebaliknya terus meningkatkan semangat perjuangan sehingga PRU Ke-13 nanti.

''Masa kita tidak lama, PRU Ke-13 menanti kita. Perancangan dan gerak kerja bermula pada detik dan saat ini. Kita perlu insaf dan sedar.

''Kita tidak boleh menjadi umpama kad 'touch n go' yang hanya berkobar-kobar semangat semasa mendengar pemimpin berucap, sebaik sampai ke bahagian atau cawangan, kita hilang kesungguhan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Menggarap 1perjuangan, mengukuh Puteri, menjulang parti, pada Persidangan Perwakilan Puteri UMNO di sini hari ini.

Rosnah menegaskan, setiap ahli pergerakan itu seharusnya telah memulakan langkah membina kekuatan kerana 'menyesal kemudian tidak berguna.'

Beliau turut mengingatkan UMNO akan kehilangan apa yang dimilikinya jika tewas pada PRU Ke-13 nanti.

''Jangan bila kekalahan menjenguk, baru kita menyesal seribu bahasa. Waktu itu tiada megah lagi Putrajaya, Dewan mulia dan bangunan ini bertukar warna daripada merah hati kepada hijau atau biru laut yang tidak menjanjikan apa-apa.

''Waktu itu jawatan hanya tinggal nama, tidak gah dan tidak bermakna. Orang muda tidak kenal pemimpin UMNO. Kita hanya menjadi seorang wanita muda yang menjalani kehidupan biasa. Itukah yang kita mahu,'' tegasnya.

Puteri UMNO, jelas beliau, perlu sentiasa diikat dengan perasaan takut, gerun dan fear factor terhadap perubahan dan cabaran di sekeliling. ''Hanya dengan mempunyai kegerunan dan kebimbangan maka kita akan bekerja keras demi menyelamatkan parti, agama, bangsa dan negara,'' ujarnya.

Jelas beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang tidak seharusnya melalaikan ahli-ahli pergerakan itu.

Dari segi prestasi, tambah beliau, kemenangan BN itu tidak boleh dibanggakan kerana parti itu hanya menang dua pilihan raya kecil (daripada lapan yang ditandingi) selepas PRU Ke-12.

Sehubungan itu, Rosnah mengajak semua ahli pergerakan itu kembali bersatu dan melupakan segala persengketaan yang wujud ketika pemilihan parti itu pada Mac lalu.

Menurut beliau, Puteri UMNO itu perlu bergerak seiring dengan kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Tegasnya, ahli-ahli pergerakan itu tidak boleh berputus asa dan cepat mengaku kalah dalam usaha menarik sokongan ahli-ahli baru.

Beliau turut menyatakan sokongannya terhadap usaha meminda perlembagaan parti yang dilihat mampu membendung politik wang.

''Transformasi ini menuntut kita membuktikan bahawa parti kita bukan eksklusif sifatnya, jauh sekali bersifat elitis sebaliknya sifat parti kita adalah inklusif,'' katanya. Dalam pada itu, beliau kecewa dengan sikap Pas yang terus menimbulkan pelbagai fitnah untuk memburukkan BN dan UMNO. ''Menggunakan kata-kata kesat, memaki hamun atau membenarkan orang lain menggunakan bahasa lucah, carutan, ungkapan kotor dan najis yang amat menjijikkan kononnya atas nama keadilan dan jihad,'' katanya.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP